SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan bertoleransi dengan sebarang perbuatan buli terhadap kakitangannya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perbuatan buli tidak pernah menjadi budaya KKM, malah perkara itu kekal menjadi dasar utama kementerian tersebut.

Mengulas kematian seorang doktor di Sabah pada 29 Ogos lalu yang didakwa menjadi mangsa buli serta menghadapi tekanan kerja yang tinggi, Dr Dzulkefly berkata, kes itu perlu disiasat lebih lanjut.

"Kesemua kakitangan KKM berhak untuk mendapatkan persekitaran kerja yang selamat dan adil.

“Saya mempunyai sifar toleransi terhadap buli sejak 2018 dan saya akan kekal berpegang teguh dengan dasar ini (beberapa kes di tangan).

“Kematian (doktor berkenaan) perlu disiasat lebih lanjut,” katanya dalam hantaran di X pada Isnin.

[TERKINI] DR DZUL gesa siasatan terperinci ke atas Dr. Tay Tien Yaaa


Sebelum ini, doktor berkenaan yang dikatakan baharu sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu ditemui meninggal dunia di rumah sewanya.

Adik mangsa mendakwa kakaknya ditindas oleh ketua jabatan hospital tersebut selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.



Menerusi perkongsian melalui akaun Facebooknya adik mangsa turut mendakwa, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua unit terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.  -- Sinar Harian