Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata banyak kajian tertumpu kepada penggunaan AI dalam pemeriksaan X-ray dada sebagai alternatif yang lebih berkesan dari segi kos.
"Berdasarkan kajian (Megat Ramli, 2025), AI dalam pemeriksaan X-ray dada menunjukkan sensitiviti lebih tinggi 56.4 hingga 95.7 peratus, berbanding pakar radiologi 23.2 hingga 76 peratus dalam mengesan nodul paru-paru dengan kekhususan yang setanding.
"Kajian penilaian teknologi kesihatan oleh Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS) pada 2022 juga mendapati penggunaan AI dalam pemeriksaan X-ray dada dapat membantu pelatih pakar radiologi mengesan peningkatan 15.5 peratus daripada 54.7 peratus kes yang memerlukan pemeriksaan tomografi berkompter (CT)," katanya pada sesi Soal Jawab Lisan.
Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang ingin tahu keberhasilan awal kajian penggunaan AI dalam membantu pakar perubatan radiologi mengesan penyakit khusus seperti kanser dan bagaimana penggunaan AI dapat menurunkan kos rawatan jangka panjang bagi pesakit dan kementerian.
PARLIMEN-LUKANISMAN (AI) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Lukanisman berkata penggunaan AI juga dijangka dapat menurunkan kos rawatan jangka panjang bagi pesakit dan kementerian melalui beberapa aspek antaranya saringan dan diagnostik yang lebih cepat, mengurangkan kadar missed diagnosis di fasiliti tanpa pakar radiologi dan rawatan yang lebih bersasar.
"Berdasarkan keputusan kajian bagi prestasi diagnosis AI dalam pemeriksaan mamogram untuk saringan kanser payudara yang melibatkan 434 mamogram digital, prestasi diagnosis bagi semua golongan penilai (pakar radiologi berpengalaman dan pelatih) telah meningkat dengan signifikan menyeberangi semua metrik.
"Dengan bantuan AI, pakar radiologi mencapai sensitiviti yang tinggi secara tekal (88 peratus dengan AI berbanding 86.5 peratus tanpa AI). Selain itu, kajian oleh Ramli Hamid et. al. (2024) turut mengesahkan bahawa penggunaan AI dalam mamogram dapat meningkatkan ketepatan diagnosis dan mengurangkan ujian biopsi yang tidak diperlukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Institut Kesihatan Negara (NIH) sedang menjalankan kajian lebih komprehensif mengenai penggunaan AI dan kajian awal berhubung teknologi itu sedang dijalankan di Hospital Cyberjaya, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.
"Kita juga mengharapkan agar lebih banyak penglibatan daripada sektor kerajaan ataupun swasta dalam pelaburan kepada kajian-kajian berkaitan AI ini," katanya.
-- BERNAMA