Menurut Menteri Kesihatan itu, cadangan tersebut dijangka dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Mei ini sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Autonomi tambahan itu katanya, bakal menaik taraf cawangan C4P kepada sebuah bahagian di kementerian itu.
"Saya difahamkan bahawa cadangan untuk memberikan autonomi tambahan kepada C4P kini sedang di peringkat akhir sebelum diangkat kepada agensi pusat.
"Saya percaya ini akan memperkukuhkan hala tuju strategik profesion ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly memaklumkan kementeriannya sedang melihat kepada aspek kawal selia profesion PPP menerusi pelaksanaan program Assistant Medical Officer Technical Expert (AMOTeX) dan penubuhan Jawatankuasa Triage Kebangsaan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja akan meningkatkan piawaian profesion PPP, tetapi juga memartabatkan profesion itu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, KKM juga sedang merangka satu rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 [Akta 180].
"RUU baharu ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama 2026," ujarnya lagi.
Sementara itu ketika ditanya mengenai dakwaan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) bahawa tiada perbezaan dalam kos antara pesakit berinsurans dan pesakit yang membayar sendiri, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan secara spontan tanpa berasaskan bukti yang kukuh.
"Saya mesti bersifat evidence-based, berpandukan realiti dan data. Oleh itu, saya menyerahkan kepada pihak penguatkuasa dan penyelidik untuk menyemak sama ada benar wujud perbezaan harga bagi pesakit yang menggunakan insurans kesihatan dan sebaliknya," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.
Jelasnya, KKM memerlukan sedikit masa untuk mengesahkan dan menilai dakwaan tersebut sebelum memberikan sebarang maklum balas.
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh dalam temu bual menerusi podcast Keluar Sekejab memberitahu, syarikat insurans lazimnya meminta diskaun antara 10 dan 20 peratus, menjadikan caj akhir mereka lebih rendah berbanding pesakit yang membayar sendiri.
