Beliau berkata matlamat kerajaan adalah jelas dan amalan rasuah serta pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan ditangani dengan tindakan tegas.
"Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja...jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita," kata beliau dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kastam atas khidmat bakti dan pengorbanan dalam melonjakkan hasil negara serta menjaga keamanan tanah air.
Anwar turut mengingatkan bahawa integriti dan amanah adalah tunjang utama dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata insiden melibatkan enam pegawai JKDM dalam Ops Airways yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), harus dijadikan iktibar.
"Jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita," kata beliau.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 individu termasuk enam pegawai kastam dalam Ops Airways, membabitkan sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo KLIA.
Sementara itu, Anwar berkata JKDM memainkan peranan strategik dalam memacu pembangunan negara melalui kutipan hasil dan memperkasakan rantaian perdagangan yang selamat.
Menyedari kepentingan peranan badan penguatkuasaan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada JKDM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), menerusi Belanjawan 2025.
"Ini adalah antara inisiatif memperkukuh usaha kerajaan untuk melindungi kekayaan negara dengan memastikan tiada ketirisan wang rakyat," kata beliau.
Anwar turut mengingatkan cabaran baharu yang dihadapi JKDM seiring dengan perkembangan teknologi, termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) dan era post-truth.
"Jenayah terdahulu tidak lagi terpacul dengan cara yang sama hari ini. Maka, kesiapsiagaan warga Kastam pada hari ini haruslah selari dengan peredaran zaman yang semakin mencabar, kecelikan teknologi, dan kemampuan kita untuk lebih kreatif dalam penguatkuasaan perlulah menjadi keutamaan," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau yakin dengan keupayaan pegawai dan anggota JKDM untuk terus membawa hasil memberangsangkan kepada negara serta membanteras jenayah penyeludupan dengan lebih berkesan.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kutipan hasil JKDM pada 2024 adalah sebanyak RM65.57 bilion, peningkatan RM10.4 bilion berbanding tahun sebelumnya.
"Prestasi ini amat membanggakan. Tahniah, ia membuktikan keupayaan JKDM untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi MADANI yang mampan," kata beliau.
Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)