Mangsa, Muhammad Faiz Rozaini, 31 tahun, beralamat di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, di sini, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata dalam kejadian jam 3 petang mangsa yang memandu Produa Kancil dalam perjalanan dari Bukit Selambau ke Sungai Petani manakala lori sedang bergerak dari Sungai Petani ke Kuala Ketil.
“Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun sedang bergerak ke Kuala Ketil.
"Tiba-tiba kenderaan Perodua Kancil yang dipandu mangsa keluar dari simpang kiri dan membelok ke kanan menghala ke Sungai Petani.
“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu merempuh sebelah kanan kenderaan mangsa.
"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, lori terbabit ditahan dan dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
Hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori terbabit didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Muhamad Mayidin, mengucapkan takziah atas kehilangan mangsa.
Mengikut rekod, kemalangan ini yang kedua dalam tempoh dua hari melibatkan anggota APM di negeri ini.
