Ringkasan AI
- Produk gula-gula jenama Apple S dikesan mengandungi sibutramine, sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan dan kini dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
- Produk ini tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan semua peniaga diarahkan untuk menghentikan penjualan serta-merta.
- Pengguna yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan kerana sibutramine boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti gangguan fungsi sistem jantung.
Sibutramine merupakan sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan (appetite suppressant) yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ubat tersebut merupakan bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM dan didapati produk tersebut tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Antaranya, tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.
"Oleh itu, produk ini tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Semua peniaga, termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan," menurut KKM.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial dikehendaki menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
Orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan juga perlu menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
Mereka juga diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin dicampur dengan bahan terlarang.
Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung, seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.
Selain kesan sampingan serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.
Menurut KKM, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta menegaskan bahawa status keselamatan produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki dicampur dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
-- BERNAMA