PUTRAJAYA: Produk Kopi Pejuang dikesan mengandungi tadalafil iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

"Sehubungan itu, semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk itu diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

"Pada masa yang sama, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan itu," kata KKM dalam kenyataan hari ini.

KKM menambah, label produk berkenaan juga didapati tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar atau empunya hak untuk mengilang dan pengimport.

"Sehubungan itu, produk itu tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985," kata KKM.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan bahawa produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Sejak 2021 sehingga Julai 2024, sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisa bagi parameter racun berjadual dengan tujuh sampel didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk berkenaan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," kata KKM.

KKM juga memaklumkan pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk makanan yang dicampur atau mengandungi bahan terlarang itu, manakala pihak pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual juga bertanggungjawab memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan mengenai sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq.



-- BERNAMA