KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar umat Islam di negara ini mengambil kesempatan bulan yang penuh keberkatan itu untuk mengeratkan silaturahim serta membantu golongan memerlukan.

"Saya dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar Allah Subhanahuwataala mengurniakan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia serta dielakkan sebarang perselisihan atau perbalahan bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini," titah Seri Paduka dalam hantaran yang dikongsi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut mengajak umat Islam bermunajat dan berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi rahmat serta keberkatan, selain dilindungi daripada segala ancaman, bencana dan musibah.

Umat Islam di seluruh negara akan menunaikan ibadah puasa bermula esok.

-- BERNAMA