Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pelaburan PVTCMax melalui iklan di aplikasi Facebook.
Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan individu dikenali sebagai Alya dan Christopher.
"Mangsa dijanjikan pulangan tinggi antara 8 dan 10 peratus sehari dan telah diminta untuk membuat 62 transaksi pembayaran ke 10 akaun bank berbeza berjumlah RM4 juta pada pertengahan November lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Menurut Hussein, mangsa yang merupakan pesara swasta itu hanya menyedari dirinya tertipu apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
Berikutan laporan yang dibuat mangsa, Hussein berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
PDRM turut mengingatkan agar hanya menggunakan aplikasi kewangan atau pelaburan yang diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Jika ada panggilan mencurigakan orang ramai dinasihatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.
