JASIN: Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM82,175 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook, sejak Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata mangsa, seorang wanita berusia 50 tahun dan bekas setiausaha di sebuah syarikat swasta, tertarik dengan tawaran pelaburan yang dijumpainya di media sosial. Dia telah menekan pautan yang disediakan dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya setelah berhubung dengan suspek, wanita itu menerima penerangan mengenai pakej pelaburan yang ditawarkan dan diminta membayar RM1,235 sebagai yuran pendaftaran pelaburan jika ingin menyertai skim tersebut, dan akan diberikan satu pakej pelaburan.

"Selepas pendaftaran, mangsa dimaklumkan bahawa dia telah memperoleh keuntungan pelaburan sebanyak RM8,000, yang menyebabkan dia terperdaya untuk meningkatkan jumlah pelaburannya demi mendapatkan keuntungan yang lebih besar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jamil berkata mangsa telah mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya setelah bekerja selama 20 tahun dan membuat beberapa transaksi ke lima akaun bank milik individu yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan wang yang terlibat adalah RM82,175 sejak Julai lepas.

Namun, mangsa menyedari bahawa dia telah ditipu setelah gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, dan diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 sebagai cukai pengeluaran.

Ahmad Jamil berkata mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kerana menipu.

Beliau berkata sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyertai mana-mana skim pelaburan terutama menjanjikan keuntungan lumayan, dinasihatkan sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan.

"Pengguna akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan juga merupakan tanda amaran bahawa skim pelaburan berkenaan adalah meragukan," katanya.

-- BERNAMA