Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Dr Jamalludin Ab Rahman berkata, paling mustahak adalah perubahan tingkah laku masyarakat yang bakal terhasil, manakala industri pula perlu sedar dan tidak sepatutnya meletakkan keuntungan lebih daripada nilai kesihatan.
“Nak kata berpuas hati, kita sentiasa tak puas hati. Tapi ini adalah satu pencapaian yang dinantikan, akta sendiri dan tidak bergantung pada akta makanan.
“Satu perkara yang mustahak, apa yang kami harap adalah kesedaran dan perubahan tingkah laku masyarakat sendiri. Perubahan ke arah kesedaran tentang bahaya dan impak rokok terhadap masyarakat terutama kanak-kanak,”katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, pada Selasa.
Penguatkuasaan serta-merta bermula hari ini melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Kementerian Kesihatan memandang serius kesan buruk amalan merokok berleluasa termasuk promosi pemasaran kurang beretika yang menyasarkan golongan berkenaan.
Selain itu, peruntukan akta juga melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.
Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan (1 April 2025) serta pembungkusan dan pelabelan (1 Okt 2025).
Bagi Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Muralitharan Munisamy pula, beliau berharap orang ramai tidak melihat kehadiran akta itu akan menyelesaikan terus masalah.
Jelasnya, orang ramai perlu faham bagaimana akta ini berfungsi dan pihak berkewajipan termasuk media juga perlu memainkan peranan dengan memberi penerangan yang tepat.
“Ini titik permulaan untuk kita giatkan segala aktiviti bagi memastikan langkah ini diterima dan diterap kepada semua golongan masyarakat termasuk pemegang taruh.
“Semalam ada rakan media yang masih mengeluarkan berita tidak tepat (tentang akta). Saya tahu penerangan apa akta itu dan impak kepada masyarakat secara keseluruhan memerlukan masa dan perbincangan seperti yang dilakukan Astro AWANI hari ini,” katanya.