KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Institusi Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama dalam menghasilkan satu program latihan yang bertemakan kepentingan data dan kewartawanan.

Ia dianjurkan melalui beberapa siri bengkel yang dinamakan Newscamp 2.0 serta kolokium yang dijalankan secara dalam talian dan kemuncaknya di Dewan Cendekiawan IPPTAR, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Menurut Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin, kerjasama ini menandakan detik penting dalam evolusi media dan kewartawanan, mempamerkan dedikasi kepada inovasi dan kebaikan bersama, apabila terdapat kolaborasi antara sekolah kewartawanan dan industri.

“Program julung kali ini melibatkan mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam dan diadakan sebagai penanda aras pencapaian gemilang institusi ini sejak penubuhannya pada 1971.

“Ia sehingga kini terus komited dalam menyediakan latihan kepada semua pemegang taruh, sama ada daripada sektor kerajaan dan swasta, institut pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan.

“Kerjasama antara FKPM, UiTM dan IPPTAR mencerminkan komitmen untuk memanfaatkan kuasa media bagi kebaikan bersama yang lebih berkesan," katanya.

Tambah beliau, pendedahan pengetahuan kepada analisis data dikuasakan kecerdasan buatan (AI) membolehkan wartawan menemui cerapan, arah aliran dan corak dalam set data yang besar, memudahkan penceritaan dan pelaporan penyiasatan.

"Data raya memberikan wartawan satu sumber set data untuk bukti berita penyiasatan, fact-checking yang lebih efisyen, serta analitik corak pembaca melalui interaksi media sosial," kata Roslan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Prof Madya Abd Rasid Abd Rahman menekankan, kerjasama dengan industri akan melatih dan membuka jalan serta peluang kerjaya kepada bakal graduan selain pengalaman mengaplikasinya di dunia sebenar.

“Penganjuran Newscamp 2.0 kali ini merupakan inisiatif mahasiswa tahun akhir ijazah sarjana muda program kewartawanan untuk projek tahun akhir mereka.

"Gabungan kerjasama kali ini bersama IPPTAR telah meningkatkan lagi tahap kebolehan pelajar dan sinergi memacu dunia media, khasnya bidang kewartawanan,” katanya lagi.

Newscamp 2.0 yang berlangsung selama dua hari mengangkat tema 'Kewartawanan Data', mendapat hampir 50 penyertaan terdiri daripada mahasiswa pengajian media dan kewartawanan serta pengamal media.