Jumlah kes denggi yang dilaporkan di Johor meningkat sedikit pada minggu ini berbanding minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pada minggu ke-13 yang berakhir 1 April, sebanyak 130 kes denggi dilaporkan, meningkat 27 peratus berbanding 103 kes pada minggu sebelumnya.

"Secara keseluruhan, Johor mencatatkan 1,670 kes setakat ini. Daripada jumlah itu, empat kematian dilaporkan dengan tiga mangsa adalah wanita dan seorang lagi lelaki.

"Kesemua mereka berasal dari Johor Bahru, Kluang dan Segamat berusia antara 44 dan 67 tahun," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ayub berkata Johor Bahru merupakan daerah paling tinggi mencatatkan kes iaitu 80 peratus, diikuti Kluang (5.4 peratus), Segamat (3.8 peratus), Kota Tinggi (3.1 peratus), Kulai, Batu Pahat dan Pontian (masing-masing 2.3 peratus) dan Mersing (0.8 peratus).

Di Tangkak dan Muar pula, tiada kes denggi dilaporkan.

Menurut Ayub, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 171,951 premis diperiksa dan daripadanya, 5,284 premis dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Berikutan itu, sembilan premis diarah untuk ditutup dan 670 kompaun berjumlah RM335,000 dikeluarkan.

-- BERNAMA