IPOH: Sebanyak empat kes kematian direkodkan akibat komplikasi denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tahun ini.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, sehingga 25 Mei lalu, sebanyak 2,380 kes denggi dilaporkan.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,762 kes atau 285.1 peratus, berbanding 618 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Sehingga 27 Mei tahun ini, terdapat 23 lokaliti wabak terkawal, empat lokaliti wabak tidak terkawal dan satu hotspot.

"Taman Sri Tanjung dengan sembilan kes dilaporkan dan tamat pada 30 Mei.

"Empat kematian dilaporkan pada Januari, Februari dan Mei.

"Lokasinya terletak di Sungai Rapat, Silibin, Pekan Razaki dan Taman Ipoh Timor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei, di sini pada Jumaat.

"Turun naik kes denggi di kawasan pentadbiran MBI berkait rapat dengan faktor cuaca panas, kering serta hujan yang berselang seli dan berterusan.

"Ia menyebabkan pola densiti nyamuk aedes berada dalam situasi risiko penyebaran kes denggi.

"Tambahan pula nyamuk dewasa yang infektif dan pembawa virus iaitu orang yang dijangkiti denggi terus wujud di sekitar bandar raya berdasarkan kejadian kes berterusan," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, usaha pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan berkaitan kesedaran denggi oleh MBI dan pihak berkaitan sentiasa diteruskan bagi membendung kes tersebut.

"Masyarakat perlu cakna dalam usaha menangani wabak denggi secara berterusan melalui gotong-royong bagi menghapuskan tempat pembiakan di kediaman masing-masing.

"Luangkan masa 10 minit sekali setiap minggu untuk cari dan musnah tempat-tempat pembiakan aedes," katanya.