KUALA LUMPUR: Denggi masih menjadi isu kesihatan awam yang penting di Malaysia, dengan negara ini diklasifikasikan sebagai zon endemik berikutan virus berkenaan telah tersebar meluas di semua kawasan.


Ringkasan AI
  • Denggi adalah isu kesihatan awam yang serius di Malaysia, terutama bagi kanak-kanak yang berisiko tinggi mengalami komplikasi teruk. Simptom seperti demam, sakit kepala, dan muntah sering kali bertindan dengan jangkitan virus lain, menjadikannya sukar untuk dikenalpasti tanpa ujian darah.
  • Tanda amaran denggi termasuk sakit abdomen, muntah berterusan, dan simptom pendarahan. Pengurusan awal cecair dan pemantauan rapi adalah penting untuk mencegah komplikasi serius seperti kejutan dan kegagalan organ.
  • Faktor risiko termasuk persekitaran dengan air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Vaksin denggi tersedia untuk kanak-kanak berumur empat tahun ke atas, tetapi kadar pengambilannya masih rendah di Malaysia.


Antara paling berisiko adalah kanak-kanak dan mereka sangat terdedah kepada denggi yang teruk dengan tahap kesihatan boleh merosot secara tiba-tiba, seterusnya menyebabkan komplikasi yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Penjagaan Rapi Pediatrik di Sunway Medical Centre, Bandar Sunway Dr Gan Chin Seng berkata mengenal pasti jangkitan denggi pada kanak-kanak boleh menjadi cabaran kerana simptomnya sering kali bertindan dengan jangkitan virus lain.

"Simptom biasa seperti demam, sakit kepala dan muntah bukanlah unik untuk denggi, menjadikannya sukar bagi pihak klinik dan hospital untuk mengenal pasti virus berkenaan tanpa ada tahap syak yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Beliau menekankan jangkitan denggi perlu sentiasa menjadi antara kemungkinan jika seorang kanak-kanak itu demam berterusan tanpa sebab jelas, terutamanya di kawasan yang melaporkan kes denggi.

"Ujian darah penting untuk mengesahkan diagnosis, dengan pelbagai ujian tersedia untuk mengesan virus ini lebih awal. Namun, cabaran denggi pada kanak-kanak adalah ia boleh berkembang dengan pantas.

"Walaupun demam mungkin reda, tetapi jangan terpedaya kerana ia menandakan permulaan fasa kebocoran plasma yang berbahaya. Fasa ini boleh menyebabkan tekanan darah turun dan darah tidak dibekalkan dengan mencukupi ke organ-organ penting, yang membawa kepada kejutan dan berpotensi menyebabkan kegagalan kepada pelbagai organ," katanya.

Dr Gan berkata pengkelasan denggi telah dikemas kini dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memasukkan "denggi dengan tanda amaran", yang menunjukkan bahawa seorang kanak-kanak mungkin berisiko lebih tinggi untuk menghidap denggi teruk.

"Tanda amaran termasuk sakit di bahagian abdomen, muntah berterusan, pengumpulan cecair di paru-paru atau abdomen, simptom pendarahan seperti gusi berdarah, rasa letih, pembesaran hati dan penurunan kiraan platlet secara tiba-tiba dengan darah yang lebih pekat.

"Kanak-kanak dengan tanda amaran mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami denggi teruk yang mungkin menunjukkan kejutan, pendarahan teruk atau pengumpulan cecair berlebihan yang menyebabkan kesukaran bernafas. Dengan mengenal pasti tanda amaran ini, ia membantu doktor membuat keputusan dan bentuk rawatan," katanya.

"Kenal pasti awal dan rawatan segera adalah penting untuk mengelakkan situasi yang teruk," katanya.

Dr Gan berkata pelbagai sebab boleh menyumbang kepada risiko denggi teruk, yang boleh dikategorikan kepada faktor berkaitan pesakit dan persekitaran.

"Faktor risiko berkaitan pesakit termasuk obesiti, umur lebih daripada lima tahun, mempunyai sejarah pernah dijangkiti denggi dan keadaan kesihatan sedia ada.

"Persekitaran memainkan peranan penting dalam penularan denggi, kerana kawasan yang mempunyai air bertakung menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebarkan virus berkenaan. Tinggal di kawasan tersebut atau mempunyai jiran yang menghidap denggi meningkatkan lagi risiko. Usaha komuniti juga penting dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Menurut Dr Gan diagnosis awal dan intervensi adalah kritikal dalam menguruskan rawatan denggi yang teruk.

Beliau sehubungan itu menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk berwaspada dan segera mendapatkan rawatan jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka menunjukkan gejala demam berterusan, muntah, sakit abdomen atau kesukaran untuk minum.

"Pengurusan awal cecair adalah kunci bagi mencegah kerosakan buah pinggang dan komplikasi lain. Jika seorang kanak-kanak tidak dapat minum kerana muntah, mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk hidrasi intravena. Setelah demam reda, pemantauan rapi berterusan adalah penting, kerana tempoh ini (fasa kritikal) pesakit boleh kelihatan stabil sebelum komplikasi yang lebih serius timbul," katanya.

Pakar kanak-kanak dan pakar penjagaan rapi pediatrik itu juga menyatakan bahawa kemunculan ruam semasa fasa pemulihan adalah tanda positif, menunjukkan keadaan kanak-kanak itu bertambah baik.

"Selain rawatan, pendidikan keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam mencegah denggi teruk.

"Mengenal pasti awal simptom, memahami bila untuk mendapatkan bantuan perubatan dan memastikan pengambilan cecair yang mencukupi adalah mesej utama yang perlu disampaikan kepada orang awam," katanya.

Beliau berkata selain itu, pengenalan vaksin denggi telah menjadi usaha penting dalam pencegahan denggi dengan vaksin ini telah terbukti mengurangkan kesan teruk berkaitan denggi sehingga 90 peratus dan kini tersedia untuk kanak-kanak berumur empat tahun ke atas.

Walaupun vaksin denggi telah tersedia, kadar pengambilannya di Malaysia agak perlahan berbanding negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

"Bagi meningkatkan kadar vaksinasi, kempen kesihatan awam adalah penting untuk menggalakkan ibu bapa memberikan vaksin kepada anak-anak mereka, kerana vaksin memberikan perlindungan tambahan yang penting bagi melindungi daripada denggi yang teruk," katanya.

-- BERNAMA