Ringkasan AI
- Kertas siasatan kes buli kadet UPNM telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
- Polis tidak mereman suspek kerana bukti seperti seterika dan kenyataan saksi telah diperoleh, mencukupi untuk siasatan.
- Mangsa dipercayai dibuli oleh senior menggunakan seterika yang ditekap di dada, menyebabkan lecuran seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata walaupun hingga kini pihak polis masih belum menerima laporan perubatan mangsa, ia tidak menganggu siasatan berhubung kes itu.
Pada masa sama, beliau menyedari ada segelintir pihak mempertikai mengapa suspek dalam kes berkenaan tidak direman untuk membantu siasatan.
"Apabila kami menyiasat sesuatu kes, ada pertimbangan tertentu yang diambil kira sebelum keputusan untuk mereman suspek dibuat. Hanya kerana sesuatu kes telah dibuka, tidak semestinya suspek perlu direman untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan dalam Talian di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di sini hari ini.
Merujuk kepada kes itu, beliau berkata tiada keperluan untuk mereman suspek kerana polis telah merampas seterika dipercayai digunakan ketika kejadian serta mengambil kenyataan daripada mangsa dan saksi lain.
Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan pada 30 Okt lepas mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian buli melibatkan seorang pelajar kadet UPNM yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika dengan ditekap di bahagian dada hingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular di media sosial.
-- BERNAMA