SHAH ALAM: Kerajaan tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk mewajibkan semua restoran dan syarikat pengendali makanan untuk memohon sijil halal.


Ringkasan AI
  • Kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk mewajibkan semua restoran dan syarikat pengendali makanan memohon sijil halal.
  • Keputusan hasil kajian mengenai isu sijil halal akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
  • Perdana Menteri mengarahkan agar kedudukan sebenar mengenai cadangan sijil halal dijelaskan dalam mesyuarat Kabinet, dan menegaskan agar tidak memaksa orang bukan Islam mendapatkan sijil halal.


Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, keputusan hasil kajian berhubung isu sijil halal hanya akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar minggu depan.

"Tidak ada satu keputusan pun yang mewajibkan semua restoran di seluruh atau mana-mana industri yang mengeluarkan makanan dan minuman (F&B) untuk memohon. Tidak ada keputusan Kabinet.

"Itulah sebabnya perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memberitahu kedudukan sebenarnya pada Rabu ini (mesyuarat Kabinet).

"Apa keadaan yang sebenarnya tentang cadangan kajian ke atas sijil halal, jangan paksa orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil (halal)," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan ke-78, di sini, pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata beliau arif tentang perkara ini berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Mengungkap sebaris ayat daripada surah al-Kafirun yang membawa maksud "untukmu agamamu, dan untukku agamaku", beliau meminta orang ramai supaya tidak menyalah tafsir perkara ini dan terjerat dalam 'perangkap' musuh politik.