LABUAN: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM22 juta bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedia ada di Terminal Feri Roll-on Roll-off (Ro-Ro) di pulau bebas cukai ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan meluluskan RM22 juta untuk menaik taraf Terminal Feri Ro-Ro di pulau bebas cukai Labuan.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan pentingnya meningkatkan kemudahan, infrastruktur, dan perkhidmatan di terminal tersebut.
  • Beliau juga berkomitmen untuk memulihkan ekonomi Labuan dan mengatasi isu kesesakan dengan efisiensi agensi penguatkuasa tempatan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu adalah bagi meningkatkan kemudahan, infrastruktur, jeti dan tanjakan feri di terminal berkenaan.

"Bagi memastikan aliran trafik yang lancar di Terminal Ro-Ro Labuan, kami telah meluluskan peruntukan sebanyak RM22 juta untuk kerja-kerja menaik taraf.

"Saya telah mengarahkan supaya kesemua kerja-kerja naik taraf ini dipercepat... selain itu, saya telah mengarahkan agensi penguatkuasa tempatan agar meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan mereka di terminal itu," katanya pada Sesi Libat Urus Komuniti di Jabatan Laut Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata anggaran masa sejam bagi waktu berlepas boleh dipendekkan dengan menangani kelewatan yang disebabkan oleh pemeriksaan imigresen.

Anwar berkata perkhidmatan yang efisien daripada agensi penguatkuasa tempatan adalah penting bagi menyelesaikan isu kesesakan di terminal itu dan bukannya bergantung semata-mata kepada infrastruktur baharu.

Perdana Menteri turut mengulangi komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan ekonomi Labuan.

Beliau memberi jaminan bahawa Labuan akan dilibatkan dalam pelbagai inisiatif kerajaan yang bertujuan menoktahkan kemiskinan.

"Saya tidak ingin melihat Labuan ketinggalan dalam agenda pembangunan ekonomi kerajaan termasuk program rasionalisasi subsisi diesel," katanya.

-- BERNAMA