KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini, dijangka mengekalkan pendekatan seimbang dengan menggabungkan kemampanan fiskal dengan inisiatif untuk memacu pembangunan ekonomi, kata RHB Investment Bank (IB) Bhd.

Belanjawan itu dilihat bakal dirumus bagi menangani keperluan ekonomi segera, termasuk meningkatkan kemampanan fiskal dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan masa depan.

Tumpuan strateginya adalah penekanan pada penambahbaikan infrastruktur, memupuk inovasi serta menyokong industri utama.

"Merujuk kepada perkembangan mutakhir, kami menjangkakan empat serampang utama yang mungkin ditangani dalam Belanjawan 2025 seperti tanggungjawab fiskal dan pengurusan hutang, rangsangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, kebajikan sosial dan keterangkuman serta terakhir, iklim perniagaan dan pelaburan," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Selasa.

Bank itu ketika mengulas mengenai unjuran makroekonomi menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal dalam jajaran 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, dengan sasaran inflasi antara 2.5 peratus dan 3.5 peratus.

Selain itu, RHB mengunjurkan pertumbuhan KDNK sekitar 4.7 peratus untuk 2025 berbanding 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh sektor berorientasikan eksport seperti elektronik dan elektrik, tenaga dan barangan logam.

"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap ekonomi, berdasarkan prospek global yang teguh, penerusan projek pemangkin berbilang tahun, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan yang berdaya tahan serta pelaksanaan usaha penyatuan fiskal secara beransur-ansur," katanya lagi.

Di dalam negara, bank itu kekal optimistik tentang pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia, dirangsang oleh keadaan pasaran buruh yang mantap.

Pengembangan berterusan dalam perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan yang bertambah baik dijangka meningkatkan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, khususnya dalam penginapan serta restoran.

Sementara itu, RHB IB meramalkan inflasi berada pada 2.7 peratus, menokok daripada 2.1 peratus pada 2024.

Trajektori inflasi akan bergantung pada garis masa berkaitan rasionalisasi subsidi RON95 selain magnitud pelarasan harga, potensi peningkatan permintaan daripada pengeluaran sebahagian dana pencen termasuk kesan limpahan daripada peningkatan harga komoditi dan makanan global.

"Kenaikan gaji kakitangan awam (berkuat kuasa Dis 2024) juga boleh meningkatkan tekanan inflasi tarikan permintaan," katanya.

RHB IB menjangkakan beberapa bentuk langkah konsolidasi fiskal akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 seperti peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan.

Sumber fiskal dijangka diperuntukkan dengan kaedah yang lebih tersasar dengan mengutamakan bidang-bidang penting.

Untuk 2024, bank itu percaya Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 4.3 peratus daripada KDNK, berbanding 5.0 peratus pada 2023, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan dan penyatuan fiskal.

Pelaksanaan apungan harga diesel di Semenanjung Malaysia baru-baru ini akan menambah langkah penyatuan fiskal sedia ada, seperti semakan kepada cukai perkhidmatan dan tarif utiliti, yang dijangka akan meningkatkan kedudukan fiskal berbanding 2023.

"Kami menjangkakan kutipan hasil yang lebih tinggi akan dapat dicapai untuk 2024, disokong oleh lonjakan dalam hasil kutipan cukai syarikat dan individu di tengah-tengah prospek ekonomi yang bertambah baik serta asas cukai yang lebih meluas, dipacu pula dengan kecekapan yang dipertingkatkan," kata bank itu.

-- BERNAMA