KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan menganjurkan Dialog Koperasi ASEAN pada hujung Mei ini sebagai usaha memperkasa peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi serantau.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata peranan koperasi perlu terus diperluas supaya ia memberi impak lebih besar kepada ekonomi ASEAN.

"Koperasi bukan hanya terdapat dalam sektor pertanian, tetapi juga merangkumi sektor lain seperti kewangan, perladangan, pelancongan, kesihatan, pendidikan dan banyak lagi.

"Dialog ini akan melibatkan pemimpin koperasi, menteri serta agensi berkaitan dari negara-negara ASEAN, dan hasil perbincangan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibawa ke peringkat (kepimpinan) ASEAN," katanya selepas sesi pengagihan pek kurma di Wisma Bernama, hari ini.

Menurut Abdul Fattah, kerajaan telah memperuntukkan RM1 juta kepada ANGKASA selaku pengerusi Kesatuan Koperasi ASEAN (ACO) bagi menjayakan dialog tersebut.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata sektor koperasi di Malaysia telah menyumbangkan RM64.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023, bersamaan dengan tiga peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK negara.

"Walaupun jumlah ini besar, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Filipina yang mencatatkan sumbangan koperasi melebihi lima peratus. Malah, di Thailand dan Vietnam, sumbangan mereka mencecah dua angka," katanya.

Mengulas mengenai langkah meningkatkan sumbangan koperasi kepada ekonomi negara, beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik termasuk merangka Dasar Koperasi Negara baharu serta memperkemas Akta Koperasi sedia ada bagi memudahkan koperasi berkembang di dalam dan luar negara.

"Jadi di peringkat awal, pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah berbincang bersama pemegang taruh yang terdiri daripada koperasi dan badan-badan berkaitan bagi mendapatkan cadangan mengenai perkara yang ingin ditambah dalam akta tersebut.

"ANGKASA melihat langkah ini sebagai usaha kerajaan dalam memberi lebih kebebasan kepada koperasi untuk berkarya dan berkembang dengan lebih pesat," katanya.

-- BERNAMA