Beliau berkata pencapaian 2.07 juta anggota gerakan koperasi sekolah ini amat membanggakan kerana ia bukan dinilai dari segi umur atau kematangan, namun kepada usaha serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan objektif dan matlamat koperasi.
"Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku badan pemantau dan agensi berkaitan pembangunan koperasi telah berjaya mengawal selia serta membimbing koperasi sekolah.
"Saya pasti dengan adanya kesepaduan di antara kementerian serta SKM, pasti gerakan koperasi sekolah akan dapat berkembang dengan maju dan lebih baik lagi," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Kolej Vokasional Tanah Merah, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ewon berkata kementerian serta SKM akan terus memperkasakan gerakan koperasi di peringkat akar umbi sebagai salah satu wadah pembangunan ekonomi negara.
"Kita akan menyebarluaskan kepada seluruh warga sekolah serta komuniti setempat akan kewujudan koperasi sekolah, peranan utama yang dimainkan, selain mendidik para pelajar mengenai prinsip dan jati diri sebagai anggota koperasi.
"SKM akan sentiasa membantu bagi melestarikan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan ekonomi negara serta mewujudkan persekitaran kondusif agar mampu berdaya saing dan bersedia dalam pasaran ekonomi yang kini semakin mencabar," katanya.
-- BERNAMA