MELAKA TENGAH: Seorang pengasuh wanita yang didakwa menyebabkan kematian bayi lelaki lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Jumaat lalu akan didakwa esok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

“Setakat ini arahan untuk pendakwaan telah pun dikeluarkan dan suspek yang berusia 34 tahun itu akan dituduh pada pukul 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi Jumaat lalu, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup mukanya dengan bantal.

Tindakan wanita berusia 34 tahun itu dikatakan dilihat menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup sebelum polis menahan reman pengasuh berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.