ALOR GAJAH: Seorang wanita yang didakwa membunuh bayi lapan bulan Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34 tahun, menangis teresak-esak di kandang tertuduh sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak itu kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian bayi lelaki itu di sebuah taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi 6 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 13 Nov bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan tertuduh yang berasal dari Endau, Johor itu direman tujuh hari bermula 7 Sept lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan memaklumkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.

Tertuduh yang mempunyai anak-anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan kira-kira 3.30 petang 6 Sept lalu.

Bapa bayi terbabit, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39 tahun, dilapor berkata pihak taska menghubungi isterinya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.

Anaknya yang baru dihantar ke taska berkenaan sejak lima hari sebelumnya didapati berada dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Menerusi sistem kamera litar tertutup, pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi tersebut dengan bantal.