KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menjangkakan laporan polis berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan meningkat susulan penggunaan yang meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana perkembangan teknologi AI yang sangat drastik, dan ia boleh disalahgunakan.

Beliau berkata peningkatan laporan polis dijangka bertambah dari tahun ke tahun kerana kecanggihan teknologi ini yang boleh digunakan bagi tujuan jenayah, seperti yang berkaitan mata wang kripto, macau scam, ransomware dan penipuan pelaburan.

"Sebagai contoh, AI berkebolehan meniru suara saya, dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Tamil, Mandarin dan Inggeris untuk melakukan pelbagai jenis jenayah scam.

"Justeru, ia memberi cabaran yang besar kepada JSJK dan teknologi penyiasatan kami perlu ditingkatkan selari dengan peredaran zaman agar dapat mengikut perkembangan AI," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas mengenai kes penipuan penyamaran sebagai rakan atau kenalan melibatkan dalam aplikasi Telegram dan WhatsApp, beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati melakukan penggodaman terhadap akaun Telegram atau WhatsApp milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada kedua-dua aplikasi itu untuk meminjam wang.

"Saya sendiri pun menerima ratusan mesej dalam Telegram oleh penjenayah yang menyamar sebagai rakan-rakan saya untuk meminjam wang tetapi saya tidak melayannya.

Ramli berkata sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank digunakan adalah milik individu lain.

-- BERNAMA