KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 kes pecah amanah melibatkan peguam direkodkan dengan kerugian RM20.3 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 29 kes pecah amanah jenayah oleh peguam disiasat dengan melibatkan kerugian berjumlah RM13 juta pada 2022, manakala pada tahun lalu ia meningkat kepada 31 kes membabitkan kerugian sebanyak RM33.3 juta.

Melihat pada trend itu, beliau menjangkakan kes pecah amanah melibatkan profesion itu akan terus meningkat.

Kata beliau, perbuatan itu merupakan satu pelanggaran etika profesional dan undang-undang.

"Justeru, mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan amaun yang besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang tersebut agar kes sebegini dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ramli turut memaklumkan pihaknya sedang menjalankan dua lagi kes berkaitan pecah amanah jenayah melibatkan peguam yang berlaku di Selangor dan Johor.

Menurutnya, antara yang terbaharu adalah berhubung satu laporan polis yang telah diterima di Selangor pada 8 Ogos lalu daripada seorang lelaki berusia 72 tahun didakwa telah ditipu sebuah firma guaman di Kuala Lumpur .

Kata beliau, mangsa merupakan seorang pesara sebuah syarikat swasta telah melantik firma guaman tersebut pada 27 November 2023 dan menandatangani satu perjanjian pada 14 Mac lalu.

Jelasnya, perjanjian itu membabitkan urusan penjualan tanah berkeluasan 518 meter persegi di daerah Batu Pahat, Johor dengan harga dipersetujui sebanyak RM140,000.

"Pada 20 Jun lalu, pembeli telah memperoleh kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan dan wang berjumlah RM140,000 itu telah dibayar ke akaun client milik firman guaman yang dilantik mangsa.

"Sejak Julai lalu sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak peguam terlibat.

"Lebih malang, mangsa dua kali menerima cek kononnya sebagai bayaran penjualan tanah, namun kedua-dua ditolak oleh pihak bank atas alasan terdapat pindaan pada cek tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, jumlah kes pecah amanah oleh peguam mungkin kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan peguam yang berdaftar.

Namun begitu katanya, nilai kerugian yang direkodkan bagi satu-satu kes adalah amat besar.

Sehubungan itu tegas beliau, PDRM memandang serius isu penipuan melibatkan peguam dan usaha sewajarnya diambil bagi mengekang kes seumpama itu daripada terus berlaku.