NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 154 kilogram methaphetamine bernilai RM5 juta dan menahan empat lelaki warga tempatan di tiga lokasi pada 14 Mei lepas.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Ribuan Abdullah berkata sepasukan anggota Cawangan Narkotik JKDM dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi khas di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Sungai Buaya, Selangor.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kereta jenis Proton X50 yang berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menjumpai empat bagasi berisi paket makanan berlogo durian mengandungi kristal jernih disyaki methaphetamine.

"Susulan itu lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga pemandu kereta berkenaan ditahan dan direman sehingga 28 Mei ini. Siasatan awal mendapati dadah itu diperoleh dari utara untuk dibawa ke Lembah Klang dan pergerakan sindiket menggunakan khidmat tonto," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam di sini hari ini.

Ribuan berkata susulan penahanan itu seramai tiga lagi lelaki tempatan disyaki rakan subahat suspek iaitu dua daripadanya berusia 24 dan 29 tahun ditahan di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur manakala seorang lagi berusia 34 tahun ditahan di Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang Selangor.

Tiga suspek yang bertindak sebagai tonto itu direman 10 hari hingga 24 Mei.

Beliau berkata rampasan dadah itu dapat membanteras penggunaan dadah kira-kira 770,000 individu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA