CHUKAI: Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) tiga nelayan yang dikhuatiri hilang di laut selepas keluar menangkap ikan Ahad lepas diperluas ke kawasan hingga 840 batu nautika persegi berbanding 30 batu nautika persegi pada petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata operasi yang bermula 8 pagi itu turut dibantu sebuah pesawat udara bombadier selain dua bot.

Beliau berkata sektor pencarian diperluas sehingga ke perairan Kerteh dan Kuantan, Pahang oleh 25 anggota penyelamat daripada beberapa agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Operasi yang dijalankan bermula 2.50 petang semalam gagal menemukan tiga mangsa yang menaiki bot nelayan jenis A.

"Oleh itu, kita memperluas pencarian hingga ke 840 batu nautika persegi meliputi laut dan udara. Kita harap usaha mencari tiga nelayan akan berhasil hari ini," katanya ketika ditemui hari ini.

-- BERNAMA