JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini melibatkan rampasan bernilai RM12.05 juta selepas menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri pada 1 Okt lepas.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kastam Johor mematahkan sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini dengan rampasan dadah bernilai RM12.05 juta dalam sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 1 Oktober.
  • Kastam menemui 60.2 kg serbuk mampat disyaki kokain tersembunyi di ruangan pendingin hawa kontena yang membawa 19 tan udang sejuk beku.
  • Kontena tersebut transit dari India sebelum menuju ke Miami, dan kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 tanpa sebarang tangkapan.


Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan 60.2 kilogram (kg) serbuk mampat disyaki kokain itu dilakukan pada 11.15 pagi hasil maklumat dan risikan selama sebulan oleh Cawangan Risikan Zon Selatan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kontena itu didapati membawa 19 tan udang segar sejuk beku bernilai RM735,000 yang diikrarkan sebagai barang dagangan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi kita menemukan 62 bungkusan plastik mengandungi serbuk mampat berwarna putih disyaki kokain yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kontena berkenaan telah berada di pelabuhan itu dalam dua atau tiga hari sebelum operasi sitaan dibuat," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Beliau berkata hasil maklumat mendapati kontena dari India itu transit di pelabuhan berkenaan sebelum dibawa ke destinasi seterusnya iaitu di Miami, Amerika Syarikat.

Aminul Izmeer berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menyiasat kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata modus operandi sindiket penyeludupan dadah berkenaan didapati sama dengan kes rampasan dilakukan pihaknya yang melibatkan 50 kg kokain selepas menyita sebuah kontena dari China di pelabuhan sama pada Mei lepas.

"Sindiket itu turut menyembunyikan dadah di ruangan pendingin hawa, namun berdasarkan siasatan awal sindiket berkenaan didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes terbaharu ini," katanya.

Sitaan kontena membawa 60.2 kg dadah disyaki kokain itu tidak melibatkan sebarang penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA