Ringkasan AI
- Neymar mungkin kembali ke kelab asalnya, Santos, tahun depan selepas bergelut dengan kecederaan di Al-Hilal. Perbincangan perpindahan dijadualkan antara Santos dan pihak Neymar.
- Neymar, yang kontraknya dengan Al-Hilal tamat Julai depan, berpeluang kembali ke Santos lebih awal, tetapi klausa kewangan dan pemasaran menjadikan perpindahan "amat rumit."
- Neymar pernah membuat 225 penampilan dan menjaringkan 136 gol bersama Santos sebelum ke Barcelona pada 2013, dan kini menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa Brazil dengan 79 gol.
Presiden Santos Marcelo Teixeira dijadual bertemu dengan bapa dan pengurus Neymar, Neymar Santos Sr minggu depan untuk membincangkan syarat perpindahan yang mungkin berlaku, menurut Globo Esporte pada Ahad.
Kontrak Neymar bersama Al-Hilal dijangka tamat pada Julai tahun depan, tetapi pemain berusia 32 tahun itu boleh menamatkan kontraknya lebih awal. Ini memberi peluang kepada pemain itu untuk kembali ke Santos pada Januari, menurut laporan itu.
Laporan itu turut menyebut bahawa usaha untuk menamatkan kontrak Neymar lebih awal adalah "amat rumit" disebabkan klausa kewangan dan komitmen pemasaran.
Neymar hanya membuat tujuh penampilan dalam semua pertandingan untuk Al-Hilal sejak menyertai kelab itu dari Paris Saint-Germain pada Ogos 2023.
Awal bulan ini, Teixeira memberitahu akhbar Brazil Estadao bahawa Santos mempunyai "projek konkrit" untuk membawa semula pemain No. 10 itu ke kelab.
Neymar membuat 225 penampilan untuk Santos dan menjaringkan 136 gol sebelum perpindahan berprofil tinggi ke Barcelona pada 2013. Dia merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa Brazil dengan 79 gol dalam 128 perlawanan antarabangsa.
-- BERNAMA