MELAKA: Kadar pengulangan jenayah dalam kalangan banduan yang mengikuti program peluang kedua menerusi tawaran pekerjaan yang disediakan selepas keluar dari penjara adalah sekitar 0.24 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata peratusan berkenaan adalah lebih rendah berbanding 18.7 peratus dalam kalangan banduan yang tidak mengikuti program berkenaan atau tidak mempunyai perancangan selepas keluar dari institusi itu.

"Berdasarkan kajian yang kita lakukan menerusi program pemulihan yang dilaksanakan di penjara, 18.7 peratus dalam kalangan banduan yang tidak mempunyai perancangan selepas keluar penjara akan masuk semula dalam tempoh tiga tahun selepas dibebaskan.

"Berbanding mereka yang mengikuti Program Sinar di Sebalik Tirai Besi, mereka diberi kepercayaan atau peluang kedua untuk bersama syarikat atau rakan strategik sekali gus mengurangkan kadar pengulangan jenayah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Sinar di Sebalik Tirai Besi : Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Nordin berkata menerusi program peluang kedua itu, banduan akan dijamin peluang pekerjaan, tempat tinggal dan mempunyai persekitaran baharu yang lebih kondusif sekali gus mengelak mereka kembali dalam komuniti yang mendorong mereka kembali melakukan jenayah.

Beliau berkata setakat ini, institusi penjara telah bekerjasama dengan lebih 300 syarikat pelbagai sektor yang menawarkan peluang pekerjaan kepada banduan terlibat dengan kerjasama baharu melibatkan tiga syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Ada syarikat besar dan antarabangsa menyediakan 500 peluang pekerjaan termasuk penginapan untuk banduan sama ada menerusi program parol atau Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen.

"Kepercayaan masyarakat termasuk majikan syarikat bertaraf antarabangsa semakin positif terhadap golongan banduan untuk kembali dalam bidang pekerjaan dan kami juga sedang berbincang dengan sebuah syarikat perladangan untuk menempatkan 700 banduan di pantai timur," katanya.

Katanya banduan yang terpilih mengikuti program peluang kedua itu terdiri daripada mereka yang telah menjalani proses saringan dan 'profiling' oleh penjara selain tidak terlibat dalam jenayah berat dan menjalani hukuman penjara kurang daripada lima tahun.

-- BERNAMA