JAKARTA: Berang kerana tidak dapat meminjam wang, seorang lelaki tergamak menikam isterinya, dalam kejadian yang berlaku di Kabupaten Muratara pada Ahad.

Suspek Rangga Saputra, 33, warga Desa Maur Baru Kecamatan Rupet menikam Tesi Desmanita, 26, di rumah mereka pada sekitar jam 10 pagi waktu tempatan.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian pinggang dan dirujuk ke hospital Kota Lubuklinggau untuk rawatan lanjut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Muratara, AKP Sofyan Hadi berkata, kejadian tikaman berlaku semasa mangsa sedang memasak di dapur.

"Suspek menghampiri isterinya untuk pinjamkan wang tetapi mangsa tidak mahu memberikannya kerana dia suka bermain judi online.

"Suspek kemudian berang lantas mengambil pisau dan menikam isterinya itu sebanyak sekali di bahagian pinggang," katanya.

Susulan insiden berkenaan, polis Murata kini sudah menahan suspek di Desa Bingin Rupit sekitar jam 12.10 tengah hari waktu tempatan. - Sinar Harian memetik agensi