Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman, laporan tersebut dibuat oleh adik mangsa yang mengesahkan bahawa wanita berusia 35 tahun yang dipukul itu adalah kakaknya.
Katanya, lelaki yang bertindak menampar mangsa dikenal pasti sebagai suami mangsa yang berumur sekitar 50 tahun.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
“Polis sedang giat menjejaki mangsa dan suspek. Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mahafiz bin Mat Lawi di talian 010-2396533 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di 03-87774222.
Tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang wanita ditampar oleh seorang lelaki dipercayai suaminya ketika berjalan keluar dari lokasi majlis sambutan Tahun Baharu Cina.
Rakaman video berdurasi 30 saat itu dikongsi oleh seorang pengguna TikTok, 'Smrmotorsport' dan turut dikongsi di laman X Malaysia Most Viral pada Ahad.
Menurut individu yang merakam video terbabit, dia terkejut apabila melihat wanita tersebut ditampar oleh lelaki berkenaan secara tiba-tiba.