GERIK: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mencekik, mengugut dan menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli pada Sabtu.

Suspek berusia 39 tahun itu diberkas oleh pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Baling, Kedah pada Rabu kerana terdapat penglibatan kes di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintan Zulkifli Mahmood berkata, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk siasatan lanjut selepas urusan siasatan di Baling selesai.

Menurutnya, kira-kira jam 2 petang Sabtu, pihaknya menerimq panggilan daripada orang awam memaklumkan telah menjumpai seorang wanita berumur 32 tahun berseorangan di tepi jalan Kilometer 31.2 JRTB dan memohon bantuan kerana mangsa mengalami kecederaan.

“Mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kira-kira jam 5.30 petang Khamis lalu, suspek telah membawa mangsa dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak atas alasan mahu pulang ke kampung.

Menurutnya, sepanjang perjalanan berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan apabila tiba di suatu tempat, suspek telah memberhentikan kereta lalu mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau.

“Mangsa merayu dan berlaku pertengkaran di dalam kereta sambil suspek mencekik leher mangsa.

“Mangsa telah bertindak terjun daripada kereta tetapi telah dimasukkan semula oleh suspek, lalu terus memecut sehingga tiba di Kilometer 31.2 JRTB kira-kira jam 4 atau 5 pagi,” ujarnya. 

Zulkifli berkata, setibanya di kawasan tersebut, berlaku lagi pertengkaran mulut dan suspek telah menarik mangsa keluar kereta lalu berlaku bergelutan di tepi jalan.

Katanya, suspek bertindak menolak mangsa sehingga jatuh gaung dan mangsa menyelamatkan diri dengan merangkak ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan di Hospital Gerik, mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh dan dia kini menerima rawatan di Hospital Taiping,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya, Akta Kesalahan Kecil dan Kanun Keseksaan.