BAGAN SERAI: Jenazah Allahyarham Muhamad Firdaus Abdull Fatah, 36, yang maut dalam letupan sebuah kapal di perairan Samalaju, Bintulu Sarawak, selamat dikebumikan pada 7.25 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Jay, di sini.

Lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah di Masjid Permaisuri Tuanku Hajah Haminah Matang Jelutong sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran masjid.

Terdahulu, jenazah diterbangkan dari Bintulu pada 8.15 malam dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 10.30 malam, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Parit Jay, dekat sini pada 4.04 pagi tadi.

Dalam kejadian 10.40 malam Jumaat lalu, dua pekerja kapal maut manakala seorang parah dalam letupan dalam di bilik enjin kapal Icon Amara, ketika kapal tersebut sedang menuju ke pelantar Patricia.

Muhamad Firdaus, seorang penolong jurutera, dilaporkan meninggal dunia bersama seorang lagi rakannya Oiler George Ngilah, 24, dari Sibu, manakala seorang lagi kru dilaporkan parah.

Allahyarham yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik, meninggalkan seorang balu, Siti Rashidah Sharif, 31.

-- BERNAMA