LAHAD DATU: Jenazah Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa selamat dikebumi pada 10.55 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan di sini.

Arman San, 28, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar semalam, dikebumikan mengikut istiadat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan dibantu penduduk setempat.

Turut hadir Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api Laksamana Pertama Dr Tay Yap Leong, Panglima Markas Wilayah Laut 2 TLDM Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris dan bapa Allahyarham iaitu Hermansa Senda, ahli keluarga lain serta sahabat handai.

Sebelum itu, jasad Arman San dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Sapagaya, Silam dan solat jenazah dilakukan di surau berhampiran.

Arman San, 28, berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api.

-- BERNAMA