KUALA LUMPUR: Tertekan tidak dapat melihat jenazah ahli keluarga buat kali terakhir, seorang lelaki mengamuk dan sanggup memecahkan cermin Bahagian Forensik Hospital Sungai Buloh, dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh menerima satu panggilan awam daripada hospital terbabit pada 12 tengah malam memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata sepasukan anggota polis yang bertindak lokasi itu kemudian menahan lelaki berusia 43 tahun itu dan merampas satu topi keledar dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin berkenaan.

"Punca kejadian dipercayai disebabkan lelaki itu berasa marah dan tertekan kerana tidak dapat melihat jenazah ahli keluarganya.

"Semakan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan lelaki itu mempunyai sejarah pesakit mental dan beberapa kali tidak datang untuk janji temu serta pemeriksaan doktor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mohd Hafiz berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Sekyen 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kerosakan kepada harta benda, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan dan spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.

-- BERNAMA