Ringkasan AI
- Petisyen Rayuan Syed Saddiq: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya untuk dibebaskan daripada empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana Armada, serta mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta.
- Kesilapan Hakim: Syed Saddiq mendakwa bahawa Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf dalam mensabitkannya atas empat kes tersebut dan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah melampau serta tidak mengikut prinsip-prinsip hukuman yang boleh diterima.
- Rayuan di Mahkamah Rayuan: Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan berkaitan dana Armada, dengan perbicaraan dijadualkan pada 19 dan 20 Mac tahun depan.
Ahli Parlimen Muar berkata demikian berdasarkan petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, menerusi Tetuan Wong Kian Kheong.
Syed Saddiq, 32, berkata, Hakim bicara, Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf dari segi undang-undang apabila mensabitkannya atas empat kes itu.
Selain itu, anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta adalah melampau dan tidak mengikut prinsip-prinsip hukuman yang boleh diterima.
Beliau berkata, hakim itu juga terkhilaf kerana memerintahkan Syed Saddiq selaku perayu, bahawa suatu kes prima facie telah dibuktikan oleh pasukan pendakwaan selain gagal untuk menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pendakwa.
Individu itu termasuk saksi pendakwaan ke-13, bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 34.
“Hakim gagal untuk mengambil kira, memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, maka perbuatan perayu seperti tertera dalam pertuduhan pertama tidak terjumlah kepada kesalahan di bawah seksyen terbabit.
“Akibat kegagalan ini, hakim terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi itu juga gagal untuk memutuskan bahawa pertuduhan kedua cacat, tidak jelas atau bertindih.
Menurutnya, keputusan hakim bahawa terdapat kes prima facie di bawah pertuduhan kedua, bertentangan dengan dapatannya, bahawa wang RM120,000 sememangnya menjadi milik atau kegunaan khusus perayu sendiri.
Menerusi dokumen itu juga, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ini berkata, hakim itu terkhilaf apabila mengambil kira fakta-fakta yang tidak relevan sebagai mana yang dinyatakan dalam alasan penghakiman.
“Yang Arif Hakim dalam kes ini, telah terkhilaf kerana bergantung pada keterangan dengar cakap.
“Akibat semua kesilapan yang dilakukan itu, hakim ini terkhilaf dalam memutuskan bahawa terdapat kes prima facie bagi pertuduhan ketiga dan keempat, hanya kerana ia berasaskan kepada pertuduhan kedua,” katanya.
Bukan itu sahaja, bekas Menteri Belia dan Sukan ini berkata, alasan penghakiman hanya diberikan 13 bulan selepas keputusan, telah menjejaskan selain memprejudiskan perayu dalam aspek keterangan yang memihak kepada pembelaan.
Katanya, hakim terkhilaf apabila memutuskan, pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah atas keempat-empat kes tersebut.
Beliau berkata, mahkamah tidak mempertimbangkan semua keterangan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, melanggari Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
“Tiada penilaian yang adil dan tidak mempertimbangkan sepenuhnya terhadap ekshibit-ekshibit pembelaan yang telah dikemukakan.
“Penemuan Yang Arif Hakim ke atas kes pembelaan telah dibuat secara bertentangan dengan keterangan dengan memprejudiskan perayu.
“Beliau gagal untuk mengambil kira pembelaan perayu, yang bukan sekadar penafian kosong tetapi suatu cabaran yang disokongi oleh keterangan yang boleh dipercayai.
“Jika Hakim mempertimbangkan kesemua keterangan, mahkamah akan mendapati perayu telah membangkitkan suatu keraguan yang munasabah, atas semua pertuduhan tersebut,” katanya.
Syed Saddiq berkata, hakim turut gagal mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan dan pembelaan.
Katanya, perayu telah dinafikan dalam perbicaraan yang adil kerana banyak kesilapan dilakukan oleh hakim ini.
Susulan itu, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini memohon, sabitan dan hukumannya diketepikan serta diberi perintah lepas dan bebas (DNA).
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 19 dan 20 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan berkaitan dana Armada.
Mahkamah turut menetapkan 15 Januari tahun sama untuk pengurusan kes bagi mengetahui status lengkap rekod rayuan dan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 4 Mac.
Syed Saddiq, 32, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. -- Sinar Harian