IPOH: Kerajaan masih belum memuktamadkan kategori golongan yang terkecuali daripada mendapatkan subsidi daripada kerajaan, termasuk subsidi petrol.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun ada yang mentafsirkan mereka yang tergolong sebagai kumpulan T15 adalah mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM12,000 sebulan.


Menurut beliau, kategori kumpulan terbabit mungkin boleh diturunkan lagi kepada T10 atau T5.

"Siapa kata RM12,000? (Ia) belum diputuskan, kita hendak tengok apakah T15 itu mampu bayar. Kalau tak mampu jadi T10, ataupun tingkatkan T15 itu menjadi pendapatan yang tertinggi daripada RM12,000 sekarang.

"Belum lagi putus, sepatutnya pembangkang dia cadang bila tidak setuju T15 itu (pendapatan) RM12,000, mungkin perlu naik RM15,000 atau RM18,000, ini tidak, dia  pertahankan T15.  T15 itu ada yang pendapatan dia RM1 juta sebulan, ada yang RM100,000 sebulan, takkan nak pertahan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvensyen Keadilan Negeri Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya lagi, apa yang penting ialah lebih 85 peratus rakyat di negara ini tidak akan terkesan dengan penyasaran subsidi.


Topik golongan T15 mula menjadi perbincangan hangat selepas Anwar yang juga Menteri Kewangan  menyebutnya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Beberapa Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara yang mempersoalkan mengapa kumpulan pendapatan T15 disebut dalam pembentangan itu sedangkan takrifannya masih belum dimuktamadkan.