Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertekad menggunakan semua saluran termasuk diplomasi dan undang-undang untuk mendapatkan peruntukan bagi kebajikan 55,000 pengundi di kawasannya.
- Syed Saddiq menyatakan bahawa pendanaan untuk Parlimen Muar diperoleh melalui pendanaan peribadi dan sumbangan orang ramai.
- Mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman Syed Saddiq mengenai peruntukan khas, dan beliau menyatakan kesediaan untuk membuat rayuan.
Tegasnya, soal kebajikan rakyat seharusnya tidak mengenal warna politik.
"Saya akan guna semua pilihan yang ada untuk memastikan kebajikan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan, dijaga dengan baik.
"Apa yang lebih penting, saya ingin memastikan perubahan dasar di masa depan agar politik balas dendam ini dapat dihentikan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.
Ujar beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu telus dan lebih terbuka dengan menunaikan janji manisfesto.
"Dahulu sewaktu pembangkang, mereka lantang menyuarakan ketidakadilan, tetapi kini mereka melakukan perkara yang sama."
"Saya berharap kerajaan akan berubah," katanya.
Menurut Syed Saddiq pendanaaan untuk Parlimen Muar dibuat menerusi pendanaan peribadi dan sumbangan orang ramai.
"Sebagai contoh, kami mendapat sumbangan bakul makanan.
"Projek terbesar adalah Larian Muar ke Parlimen yang berjaya mengumpul hampir RM200,000, sekitar RM170,000 ke RM180,000," ujar beliau.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Syed Saddiq bersama tiga pengundi Muar atas alasan ia dibuat melebihi tempoh masa yang ditetapkan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya memaklumkan peruntukan khas untuk kawasan Parlimen merupakan perkara dasar Eksekutif yang mana mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu dan tidak boleh diputuskan melalui semakan kehakiman.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedia membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.
"Dari awal, kami tahu ia akan menjadi cabaran besar untuk mendapatkan peruntukan terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan di Muar, disebabkan dasar regresif dan aksi politik toksik yang diambil oleh kerajaan hari ini.
"Jika anda pembangkang, peruntukan anda tiada namun, jika bersama kerajaan, anda mendapat RM4 juta," dakwa Syed Saddiq. -- Sinar Harian