Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad meminta orang ramai agar tidak takut menyalurkan maklumat berkaitan rasuah kepada SPRM.

Katanya, maklumat orang ramai banyak membantu SPRM untuk menyiasat dan mengenal pasti kejadian rasuah yang berlaku di negara ini.

"Mana-mana individu yang datang kepada kami, kita akan jaga maklumat berkaitan mereka.

"Ini penting buat pemberi maklumat kerana kita ada akta yang melindungi mereka, jadi mereka terkawal dan terlindung di bawah perundangan yang telah digubal," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Sahabat SPRM di Berjaya Times Square pada Sabtu.

Tambah beliau, sempena musim perayaan ini, SPRM turut mengalu-alukan kerjasama pihak Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam memantau pembabitan pegawai agensi penguat kuasa yang melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan mercun dan bunga api di negara ini.

Beliau berkata kerjasama seperti itu memang diperlukan SPRM kerana mereka tidak mampu bergerak sendirian dalam memerangi rasuah.

Sahabat SPRM merupakan antara inisiatif terkini SPRM bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat pemberi dan penerima rasuah terus kepada agensi itu.

Kerjasama dengan pihak Berjaya Times Square dan 7-Eleven membolehkan lebih 2,000 premis 7-Eleven menjadi tempat orang ramai mendapat maklumat berkaitan kaedah melaporkan kejadian rasuah terus kepada SPRM.

Pada masa sama, SPRM turut mempelawa syarikat serta agensi lain untuk turut bekerjasama dengan mereka bagi memastikan kesedaran rasuah dipertingkat menjelang 2020.