Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menyifatkan rakaman itu sebagai sebagai satu kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan di sini pagi ini, Latheefa berkata klip audio itu berkaitan dengan perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.
"Kami telah diberikan rakaman itu ... selaras dengan penyiasatan. Kami dapat mengesahkan kesahihan mutlak rakaman berkenaan.
"Kandungannya mengejutkan, ia adalah untuk menyembunyikan dan subversif keadilan ....
"Demi kepentingan awam, kami mendedahkan kepada umum kandungannya," katanya mengenai sembilan set klip audio berdurasi kira-kira 45 minit itu.
Selepas semua rakaman audio diputarkan pada sidang akhbar yang dijalankan secara langsung melalui televisyen, Latheefa berkata, ia menimbulkan banyak perkara.
“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul, termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah," tegas beliau.
Latheefa berkata pejabatnya akan menyerahkan bahan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.
"Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya - Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.
Abu Kassim adalah ketua pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku.
Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.
Rakaman itu berlaku antara 5 Jan dan 29 Julai 2016, kata Latheefa, sambil menambah bahawa SPRM menerima rakaman itu baru-baru ini, pada tahun baru.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan dari siapa, bagaimana atau dalam bentuk apa suruhanjaya itu menerima rakaman tersebut tetapi berkata beliau percaya ia berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd.
Satu lagi syarikat, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), juga dirujuk di beberapa bahagian perbualan itu yang diputarkan untuk faedah media.
"Apabila kami mendapatkannya (klip audio), kami melalui forensik untuk mengenal pasti siapa mereka (individu), dan kami membuat siasatan sendiri dan jelas, berdasarkan pengetahuan yang kami ada... kami dengan mudah boleh mengenal pasti siapa mereka," kata Latheefa.
Selain Najib, Rosmah dan Dzulkifli, beliau berkata suara beberapa orang lain telah dirakam dalam rakaman tersebut, termasuk yang dipercayai dua orang asing - anggota kerabat dan eksekutif syarikat - di Timur Tengah.
Ditanya sama ada pendedahan rakaman itu akan menjejaskan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan yang melibatkan Najib, Latheefa berkata: "Saya tidak melihat bagaimana ia akan menjejaskan (perbicaraan).
"Apa yang kita pentingkan ialah ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara yang serius. Jadi saya tidak melihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi (dengan orang awam) dan memudaratkan kes-kes yang sedang berjalan."
Menurut Latheefa, klip audio pertama memperdengarkan perbualan antara Najib dan Dzulkifli, yang ketika itu merupakan DPP di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Rosmah menjawab panggilan daripada Dzulkifli dan kemudian menyerahkan kepada Najib.
"Perbualan itu berkisar tentang kertas siasatan. Terdapat kebocoran maklumat yang jelas dari AGC kepada orang yang kami percaya adalah subjek penyiasatan," kata Latheefa.
Klip audio lain, antaranya menampilkan perbualan yang menyatakan kebimbangan dan keperluan menyelesaikan masalah dengan cepat.
Dalam salah satu rakaman itu, perbualan yang agak panas antara lelaki dan wanita dikatakan sebagai Najib dan Rosmah.
Menurut Latheefa, apa yang dikatakan semasa perbualan mengandungi unsur-unsur rasuah dan apa yang mungkin merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang SPRM rasa lebih wajar untuk pihak polis menelitinya .
Najib yang menghadiri perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata sewaktu rehat bahawa beliau akan berbincang dengan peguamnya tentang pendedahan SPRM itu.