Sewaktu meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat SPRM, Ismail Sabri dilihat menutup rapat tingkap kereta dan tidak melambai pengamal media seperti kebiasaannya sejurus ketibaan beliau ke pejabat SPRM di sebelah pagi.
Astro AWANI difahamkan, setakat ini, masih belum ada perkembangan mengenai status siasatan dan sekiranya proses merakam keterangan bakal disambung lagi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba dengan menaiki kereta jenis Vellfire berwarna hitam pada pukul 9.57 pagi untuk hari keempat merakam percakapan berhubung dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada Selasa, Ismail Sabri dijadualkan untuk merakam keterangan sekitar pukul 10 pagi namun ditangguhkan pada saat akhir atas sebab yang tidak didedahkan.
Beliau mengambil masa lebih 6 jam untuk merakam keterangan, beliau tiba pada pukul 9.52 pagi dan keluar dari ibu pejabat SPRM tepat pukul 4.30 petang, pada Isnin.
Difahamkan, siasatan pada Isnin itu menumpukan kepada beberapa dokumen penting iaitu kelulusan projek dan perolehan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dari tahun 2021 ke 2022.
Selain itu, pada minggu lalu, Ismail Sabri memberikan keterangan selama lima jam pada Khamis dan hampir enam jam pada Jumaat berkaitan aset yang diisytiharkan beliau pada 19 Februari lepas.
Untuk rekod, siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri dilancarkan susulan penemuan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas yang secara keseluruhan berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang tampuk kepimpinan kerajaan.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes.
