Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 telah diluluskan di Dewan Negara hari ini, sekali gus menjadi detik bersejarah ke arah mewujudkan media yang lebih demokratik, bebas dan beretika di negara ini.
"Langkah seterusnya adalah untuk mendapat perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) dan seterusnya dikuatkuasakan. Kita jangka menjelang sambutan HAWANA, lembaga pengasas kepada MMM ini dapat dibentuk dan proses pembentukan majlis dapat dipercepat.
"Alhamdulillah, saya percaya kita akan dapat pastikan usaha untuk meningkatkan kredibiliti pengamal media dengan MMM itu sendiri menetapkan standard dan tatakelola yang tinggi," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata Kerajaan MADANI komited untuk memperkasakan industri media di negara ini, dengan memastikan kebebasan media terus terpelihara, di samping menjamin penyampaian maklumat yang bertanggungjawab, tepat, sahih dan beretika kepada masyarakat.
Sebelum ini RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Feb.
RUU itu membuka jalan untuk mewujudkan badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.
Sambutan HAWANA tahun ini yang akan diadakan di ibu negara, bakal menjadi platform untuk menghimpunkan organisasi media daripada seluruh ASEAN bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama, selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri media.
Pengamal media ASEAN akan dijemput untuk beberapa program sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
-- BERNAMA
