KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pengiktirafan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia bagaimanapun masih mengikuti rapat apa yang sedang dan akan berlaku lantaran perkembangan di negara itu begitu dinamik. 

"Buat masa ini kita masih melihat keadaan semasa, sebelum kita buat pendirian rasmi kerajaan Malaysia kerana dari sehari ke sehari kita menerima pelbagai maklumat daripada pelbagai pihak.

"Jadi kita mengambil pendekatan yang tidak tergesa-gesa dalam hal ini. Jadi, buat masa ini itulah suasana, keadaan kita," katanya pada sidang media di Wisma Putra pada Rabu.

[TERKINI] Sidang Media Menteri Luar Negeri | 01 Sept 2021


Malah, beliau juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan dua rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu.

"Pihak PDRM masih menunggu laporan sahih tentang dua orang yang dilaporkan sebagai rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, memang ada dua orang lagi rakyat Malaysia yang ada di sana (Afghanistan) atas sukarela mereka sendiri kerana mereka berkhidmat dengan dua buah organisasi kemanusiaan," katanya.

Ditanya berkenaan krisis di Myanmar yang masih berpanjangan, Saifuddin berkata peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, Erywan Yusof amat diharapkan mampu mencapai penyelesaian yang sewajarnya di negara itu.

"Kami yakin Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar mampu melaksanakan peranannya. Saya akan bertemu dengan beliau (Erywan Yusof) secepat yang mungkin.

"Seperti saya katakan sebelum ini, ia merupakan kesinambungan atas apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein (bekas Menteri Luar).

"Kami berharap supaya keputusan positif dapat diraih hasil rundingan itu. Terdapat lima perkara yang kini dibincangkan. Saya fikir ASEAN secara keseluruhan mampu mencapai objektif dengan pelantikan utusan khas tersebut," katanya.