KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan hari ini penolakan cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan Ahli Parlimen pembangkang adalah amat penting, demi memastikan kelangsungan identiti nasional.

Ia bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan dan nilai sendiri berasaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Portfolio Pendidikan PN Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada sarat nilai (value loaded) yang diterapkan parti itu.

"Penolakan ini adalah berasaskan empat alasan fundamental, iaitu MOU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan disalah guna kuasa; dan mengongkong kebebasan wakil rakyat untuk bersuara.

"MoU itu mempunyai satu senarai syarat atau obligasi yang perlu dipatuhi Ahli Parlimen PN sahaja, dan anehnya, tidak pula dinyatakan kepatuhan oleh Ahli Parlimen kerajaan. Jadi, ia berat sebelah.

"Tetapi, apa yang paling signifikan ialah, ia menimbulkan empat perkara fundamental penolakan dan empat perkara tersebut mesti ditentang dan tidak boleh dikompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, empat perkara itu berlawanan dengan nilai dan prinsip yang mendefinisi atau memberi makna tentang apa itu Malaysia dan identiti nasional rakyatnya.

Jelasnya lagi, dari segi keadilan, MoU itu membuka peluang untuk pihak berkuasa mentafsir sesuatu perkara mengikut selera politiknya seperti isu sensitif melibatkan 3R (kaum, agama dan raja).

"Akhirnya, MoU itu menokok tambah peraturan yang bukan-bukan tentang perlakuan Ahli Parlimen, sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada. Ini akan mengurangkan kebebasan bersuara sedia ada.

"Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya. Ia bukan sahaja merosakkan identiti nasional, tetapi juga mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara kita," ujarnya.

Pada 15 Sept lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan pihaknya membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.