Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal memaklumkan, pihaknya telah melancarkan kempen dengan mengetengahkan mesej berteraskan konsep amalan yang menjadi sumber kepada senyuman dan kesyukuran.
"Tahun lepas kita memperkenalkan tema AMAL, tetapi tahun lalu kami gunakan konsep filem atau drama. Tahun ini, kita rasa kita buat sesuatu yang berbeza sikit daripada konsep kreatif sebab muzik itu memang universal.
"Apa lagi masa musim perayaan, hari raya tahun baru cina atau apa-apa, memang kita raikan dengan mendengar muzik. Jadi sebab universal kita rasa kita dapat menarik lagi emosi para pelanggan dengan menggunakan lagu untuk menyebarkan mesej kita tentang amalan mulia atau amalan baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI di majlis buka puasa anjuran HLB di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, pihaknya percaya dengan amalan mulia dan pengurusan kewangan yang baik, orang ramai dapat membina masa depan lebih cerah untuk diri sendiri dan generasi akan datang.
Bagi penyanyi Alif Satar, dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan HLB buat tahun ketiga dan teruja menyanyi lagu Senyum Senyum Raya sempena Syawal tahun ini.
"Selepas sekian lama Alif & The Locos tak keluar lagu raya, tahun ini kami berkolaborasi lagu raya Senyum Senyum Raya bersama dengan Hong Leong Bank, excited betul sebab lagu ini adalah satu kolaborasi yang istimewa kita nak galakkan orang tambahkan amalan pada bulan Ramadan ini," katanya.
Sementara itu, Lagu Senyum-Senyum Raya mula dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 di semua platform muzik digital dan video muzik rasmi pada 17 Mac di saluran YouTube Hong Leong Bank.
