KUALA LUMPUR: Hari pertama siri ketiga jelajah Jiwa SME 2023 anjuran Astro AWANI yang berlangsung di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan mendapat sambutan menggalakkan.

Bermula jam 11 pagi hingga 8 malam, pelbagai perkongsian ilmu perniagaan daripada pakar industri, usahawan PMKS dibawakan kepada peserta.

Antaranya adalah sesi pentas niaga yang dibawakan Bank Rakyat bersama UNIFI Business - mengetengahkan peserta UNIFI Business, Abdul Azharee Abdul Wahid, dalam perkongsian ilmu perniagaan.

Dalam sesi itu, Azharee akan memberi taklimat bagaimana para usahawan dapat memajukan perniagaan mereka dengan cara terbaik.

Selain itu, sesi Saya Jual, menyaksikan setiap usahawan mempersembah idea perniagaan masing-masing bagi menawan hati juri tetap.

Seorang usahawan akan dinobatkan pada Sabtu sebagai pemenang bagi kategori Penyertaan Terbaik dan dua pemenang bagi kategori Penyertaan Berpotensi.

Turut mencuri tumpuan adalah bengkel keusahawanan oleh TikTok Shop, Unifi Business dan Santai Namun Sampai yang dibawakan khas oleh Bank Rakyat.

Siri Jelajah Jiwa SME hari pertama turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada kumpulan dikir barat serta cabutan bertuah, yang membuatkan para pengunjung setia berada di lokasi acara.

Buat warga Kota Bharu, jangan lepaskan peluang anda untuk memeriahkan lagi hari kedua siri jelajah Jiwa SME esok sempena Hari Malaysia yang akan menampilkan lebih banyak perkongsian daripada pakar industri serta persembahan istimewa dan cabutan bertuah.

Siri jelajah ini merupakan satu acara menggabung sesi perkongsian daripada pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu dan pameran produk tempatan menerusi reruai menawarkan perkhidmatan kepada usahawan dan pengunjung.

Jelajah Jiwa SME bakal bertemu PMKS di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang pada 21 dan 22 Oktober 2023 dan Wilayah Persekutan pada 24 hingga 26 November 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI, layari www.jiwasme.com.my.