Menurut Mila atau nama sebenarnya, Nursyamila Jirin juga memaklumkan dia bersyukur apabila perkongsian idea perniagaannya berjaya menambat hati juri.
“Saya orang terakhir yang naik ke pentas membentangkan idea, 19 peserta yang lain juga hebat-hebat belaka.
“Syukur Alhamdulillah ... idea bisnes Bizmilla menarik perhatian juri. Apabila nama jenama Syarikat diumumkan, sudah tentu saya gembira dalam masa sama, saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui di lokasi terakhir Jelajah Jiwa SME di The Curve, Mutiara Damansara di Petaling Jaya pada Ahad.
Dalam pada itu, juara program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini juga berharap penglibatannya dalam dunia perniagaan perkahwinan dan pramusaji ini dapat memberi manfaat kepada ramai orang.
“Doakan agar perniagaan Bizmilla terus maju jaya dan dalam masa sama dapat syarikat memberi zakat perniagaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan di negara ini.
“Sesungguhnya Allah S.W.T tahu kemampuan masing-masing. Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang banyak memberi semangat untuk terus berjuang dalam perniagaan.
“Usahawan memegang Amanah untuk menjaga kebajikan terutama pekerja. Saya berharap dapat memberi sesuatu semula kepada Ummah,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu, Syarikat Rush Roastery, Istana Bonda dan Forever Coffee Roaster diumumkan sebagai penyertaan berpotensi dalam segmen Saya Jual di Jelajah Jiwa SME tajaan Bank Rakyat.