KUALA LUMPUR: Sesi 'Saya Jual' yang merupakan antara sesi tarikan di dalam siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI akan diteruskan di Pulau Pinang dalam usaha membantu lebih ramai usahawan syarikat perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri itu.

Penolong Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Editorial dan Kandungan Berbayar, Cherish Leow memaklumkan usahawan tempatan di negeri itu yang berminat menyertai pembentangan sesi 'Saya Jual' dialu-alukan untuk hadir.

"Melihat kepada sambutan yang kami terima hari ini, hangat dan banyak produk laris dijual, dan kami akan teruskan jelajah ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Dalam masa sama, kami akan bawakan sekali lagi sesi 'Saya Jual' yang memberi peluang untuk usahawan PKMS tempatan mempersembahkan perniagaan mereka. Jika ada PKMS di Pulau Pinang yang ingin menyertai sesi ini, kehadiran anda amat kami alu-alukan," katanya selepas berakhir acara jelajah di Kota Bharu.

Untuk rekod, sesi 'Saya Jual' di jelajah Jiwa SME Kelantan merupakan segmen tajaan oleh Bank Rakyat.

Dalam pada itu, Cherish turut berterima kasih kepada 35 usahawan terlibat dalam jelajah Jiwa SME dan warga Kota Bharu yang hadir memeriahkan jelajah Jiwa SME ketiga ini.

Buat warga Pulau Pinang, jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan lagi siri jelajah Jiwa SME keempat pada 21 dan 22 Oktober yang akan menampilkan lebih banyak perkongsian daripada pakar industri serta persembahan istimewa dan cabutan bertuah.

Siri jelajah ini merupakan satu acara menggabung sesi perkongsian daripada pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu dan pameran produk tempatan menerusi reruai menawarkan perkhidmatan kepada usahawan dan pengunjung.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI, layari www.jiwasme.com.my.