Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo, berkata Akta PSB bakal menjadi pemangkin dalam usaha memperbaharu kawasan kediaman lama yang sudah mencapai usia lebih 40 tahun dan mengalami kemerosotan struktur serta pelbagai cabaran lain.
Menurutnya, Pulau Pinang telah mengambil langkah awal dengan meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 20 September 2022.
"Usaha ini turut mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar (GPPSB) yang diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-81," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak enam projek perintis PSB dikenal pasti di Pulau Pinang, membabitkan 6,837 unit kediaman sedia ada.
Antara projek yang dilaksanakan kata beliau ialah PSB Mahsuri, yang menjadi projek pertama di negeri itu menamatkan skim strata sedia ada.
"Kerja-kerja pembinaan Fasa 1 sedang giat dilaksanakan, membuktikan keupayaan PSB untuk membawa manfaat besar kepada rakyat.
“Projek PSB Mahsuri bukan sahaja memberikan rumah baharu yang lebih luas dan selesa kepada 300 isi rumah yang sebelum ini mendiami unit rumah kos rendah lama, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat dengan penyediaan kediaman yang lebih moden," katanya lagi.
Rumah baharu yang ditawarkan dalam projek PSB Mahsuri berkeluasan antara 850 hingga 900 kaki persegi, berbanding unit asal yang hanya sekitar 247 hingga 547 kaki persegi. Pendekatan ini memberikan impak positif kepada taraf hidup rakyat, menjadikan PSB sebagai inisiatif yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilik rumah yang terlibat dalam projek PSB akan menerima unit gantian yang lebih luas serta dilengkapi kemudahan masyarakat dan tempat letak kenderaan secara percuma.
Sundarajoo menambah, dakwaan kononnya PSB akan menjejaskan hak golongan berpendapatan rendah (B40) adalah tidak berasas kerana setiap projek dilaksanakan dengan rundingan bersama pemilik tanpa sebarang unsur paksaan
"Setiap projek PSB akan dilaksanakan menerusi perundingan bersama pemilik hartanah terlibat, bukan secara paksaan. Prinsip keadilan akan sentiasa dipelihara bagi memastikan hak pemilik asal terjamin," jelasnya.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar RUU PSB dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Sundarajoo juga menegaskan bahawa inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan bandar yang mampan serta kebajikan rakyat, satu usaha yang perlu disokong oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.
